Pluralisme: Masalah metodologi, bukan niat

mecca
Akhir-akhir ini, terdapat ahli akademik cenderung melabel tokoh-tokoh tertentu, sebagai cenderung atau menyokong fahaman pluralisme agama.

Ada tokoh dilabelkan sedemikian, kerana menghadiri satu 'majlis rasmi' kuil Buddha di Kelantan. Seorang lagi tokoh dikaitkan dengan pluralisme, antaranya disebabkan sikapnya yang konsisten membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

Ada pihak yang menganggap 'kecenderungan melabel' itu sebagai berniat jahat. Tapi, saya tidak beranggapan sedemikian. Saya tidak percaya, ahli akademik yang melabel itu berniat jahat. Saya percaya, ahli akademik tersebut berniat baik dan ikhlas. Iaitu memelihara kesucian agama.


Saya juga tidak mempercayai, 'pelabelan' ini dilakukan dengan niat menggunakan isu akidah, untuk mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.
Sangat serius

Pada pengamatan saya, 'pelabelan' yang 'sangat serius' ini, berpunca daripada kesilapan metodologi yang diguna pakai, dalam mendiskusi isu-isu agama. Ia bukan isu 'niat jahat'. Ia sebaliknya isu 'ketempangan metodologi'.

Sepatutnya, dalam membuat keputusan berhubung isu-isu agama (sebenarnya dalam semua isu), nas-nas al-Quran dan hadis, hendaklah dirujuk terlebih dahulu.

Kesilapan akan berlaku, apabila yang pertama dirujuk, ialah kemaslahatan umum atau kebimbangan terhadap kedudukan agama. Sementara, nas-nas syarak dikemudiankan.

sitting in a mosqueMetodologi yang salah inilah juga antara faktor tercetusnya 'budaya tahrim', iaitu budaya suka mengharam sesuatu secara melulu.

Akibatnya, mendoakan kesejahteraan keduniaan kepada bukan Islam, haram. Mendoakan keburukan kepada orang-orang Islam yang dianggap zalim, haram. Bukan Islam masuk ke dalam masjid, haram. Menyedekahkan hasil judi kepada fakir miskin, haram…

Semuanya diputuskan sebagai haram, kerana rujukan pertama kepada nas-nas syarak, tidak dilakukan terlebih dahulu.

Jika yang pertama dirujuk ialah nas-nas syarak, saya yakin, tokoh yang menghadiri majlis di kuil Buddha, atau membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tidak akan dilabel sebagai cenderung atau menyokong pluralisme. Bahkan, tidak akan ada yang tergamak melabel sedemikian.

masjid jamek mosqueIni disebabkan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW lebih 'dahsyat' daripada sekadar 'menghadiri majlis rasmi di rumah ibadat bukan Islam'.

Ibnu Ishaq dalam kitabnya berkenaan sirah nabawiyyah, mencatatkan peristiwa lawatan satu rombongan Kristian dari Najran ke Madinah, untuk bertemu Nabi SAW. Rombongan tersebut disambut Baginda SAW di masjid Baginda, Masjid Nabawi.
Kristian di masjid

Kebetulan, rombongan tersebut tiba di Masjid Nabawi selepas Asar, yang merupakan waktu sembahyang mereka. Lantas, rombongan Kristian itu bangun untuk mengerjakan sembahyang mereka dalam Masjid Nabawi.

Tatkala para sahabat mahu menegah mereka berbuat demikian, Nabi SAW bersabda, “biarkan mereka (mengerjakan sembahyang mereka)”. Lantas mereka mengadap ke arah timur, lalu mengerjakan sembahyang mereka dalam masjid kedua suci dalam Islam itu!

Peristiwa ini turut disentuh oleh Imam Ibnu Qayyim dalam karyanya Zadul Ma'ad, jilid 3.

putrajaya 120505 mosqueSikap lunak Nabi SAW terhadap bukan Islam, diteruskan oleh para sahabat Baginda. Syaidina Umar r.a sebagai contoh, mengarahkan diperuntukkan daripada Baitulmal, bantuan kewangan tetap kepada salah seorang Yahudi dan tanggungannya (al-Kharaj, karangan Abu Yusuf, ms.26 & Fiqh al-Zakat, karangan al-Qaradhawi, jilid 2, ms.705-706).

Beliau juga mengarahkan diperuntukkan dari Baitulmal bantuan kewangan kepada para pesakit kusta beragama Kristian (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, karangan al-Qaradhawi, ms.47).

Lebih dari itu, sesetengah para tabi'in yang terkemuka, memberikan sebahagian daripada zakat fitrah kepada paderi-paderi Kristian. Sesetengah daripada mereka, seperti Ikrimah, Ibnu Sirin dan al-Zuhri pula berpendapat, harus memberi zakat kepada mereka (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.47)
Zakat kepada bukan Islam

Menyedari Nabi SAW pernah mengizinkan orang-orang Kristian mengerjakan sembahyang mengikut cara mereka dalam Masjid Nabawi, Syaidina Umar r.a memberikan bantuan kewangan kepada bukan Islam bersumberkan wang Baitulmal, dan ada tabi'in yang mengharuskan wang zakat diberikan kepada bukan Islam.

NONEMenyedari semua ini, adalah amat membingungkan, apabila seseorang itu dilabel sebagai condong kepada fahaman pluralisme, semata-mata kerana menghadiri 'majlis rasmi' di kuil Buddha!

Jika dirujuk nas-nas syarak berhubung penggunaan nama Allah oleh bukan Islam pula, saya yakin, tiada pihak yang sanggup melabelkan mana-mana orang Islam yang membenarkannya, sebagai penganut fahaman pluralisme.

Dalam surah al-Zumar ayat 3, Al-Quran merakamkan ucapan orang-orang musyrik yang menjustifikasikan perbuatan mereka menyembah berhala. Mereka berkata “Kami tidak menyembah atau memujanya (yakni berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”(al-Zumar : 3).

Jelasnya, mereka menggunakan kalimah Allah seperti yang dirakam sendiri oleh al-Quran. Dalam ayat di atas, al-Quran tidak menegah mereka menggunakan perkata Allah dalam ucapan mereka itu.

NONESebaliknya, al-Quran hanya menyebut dalam sambungan ayat di atas “Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta, lagi sentiasa kufur”(al-Zumar :3)

Rujukan kepada nas menemukan kita bahawa, pada zaman Nabi s.a.w, orang-orang bukan Islam bukan sahaja menggunakan kalimah Allah dalam ucapan mereka. Bahkan mereka menggunakan ucapan Bismillahirrahmanirrahim!.
Bismillahirrahmanirrahim

Dalam surat Raja Mesir, Muqauqis yang beragama Kristian kepada Nabi SAW, beliau memulakannya dengan “Bismillahirrahmanirrahim! Kepada Muhammad bin Abdullah (SAW) dari Muqauqis, pembesar Qibti…”(Ibnu Qayyim dalam Zadul Ma'ad, jilid 3, ms.61 & Ibnu Hisyam dalam Sirah Ibnu Hisyam, jilid 2, ms.359).

Tidak terdapat pula sebarang kenyataan yang menunjukkan Nabi SAW membantah penggunaan Bismillahirrahmanirrahim oleh Muqauqis itu.

taman tamadun islam 280906 mosqueDi samping nas-nas syarak yang dinyatakan, kenyataan para ulama juga sangat jelas berhubung soal ini. Contohnya, jumhur ulama mensyaratkan Ahli Kitab (penganut Yahudi dan Kristian) menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang bagi menjadikannya halal dimakan oleh orang Islam (lihat tafsiran ayat 5 Surah al-Maidah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Justeru, bagaimana boleh dikatakan, orang bukan Islam terutamanya Ahli Kitab, tidak boleh menggunakan kalimah Allah?

Penggunaan nama Allah oleh bukan Islam begitu luas pada zaman kegemilangan Islam, sehingga mereka menggunakannya dalam nama-nama mereka, tanpa ada bantahan dari ulama Islam.

ibrahimi mosque 240205Sebagai contoh, Hibatullah bin Tilmiz, yang merupakan salah seorang cendiakawan bukan Islam pada zaman Abbasiah (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.53). Hibatullah adalah gabungan dua perkataan, iaitu Hibah dan Allah.

Berhadapan dengan nas-nas syarak dan fakta-fakta ini, saya tidak faham, bagaimana orang Islam yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, dilabel sebagai menyokong fahaman pluralisme!

Bagi mengelakkan munculnya 'pandangan-pandangan yang menghairankan' ini, kembalilah kepada metodologi penentuan hukum dalam Islam. Rujuklah al-Quran dan Sunah terlebih dahulu, sebelum merujuk kepada sumber-sumber perundangan lain yang diperakui.